Kuala Lumpur: Sebahagian besar calon Barisan Nasional (BN) sudah diputuskan dan sedang diteliti pada peringkat saringan akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi. 
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata penelitian itu mengambil kira aspek kemampuan calon dan penerimaan mereka di kawasan atau kerusi masing-masing bagi memastikan BN kekal menerajui pentadbiran negara. 


“Sebahagian besar calon sudah diputuskan walaupun masih ada tengah membuat penelitian dengan lebih mendalam lagi untuk memastikan pilihan kita adalah tepat, bukan saja dari segi kebolehannya, malah penerimaan di kawasan,” katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.


Pembahagian kerusi

Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pembahagian kerusi antara parti komponen BN dengan setiap parti diberikan panduan jelas untuk menghadapi PRU-13 tidak lama lagi. 
Beliau yang membayangkan PRU-13 ‘akan tiba tidak lama lagi’, menjelaskan mesyuarat berkenaan turut membincangkan keperluan penyediaan manifesto dan logistik serta beberapa aspek lain.

Ditanya mengenai pengumuman calon dibuat lebih awal sebelum hari penamaan calon, Najib berkata, ia akan ditentukan tidak lama lagi.

Najib menjelaskan, beliau peka terhadap tempoh akhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 21 Mac depan, tetapi pada masa sama, mengingatkan bahawa tempoh akhir Parlimen adalah pada 28 April depan.

“Ya, saya tahu itu tetapi tempoh akhir Parlimen kita ialah pada 28 April,” katanya.


Sokongan makin positif

Diminta mengulas sama ada mesyuarat berkenaan adalah yang terakhir, beliau berkata, boleh jadi ia yang terakhir dan boleh jadi juga akan ada mesyuarat lain selepas ini.

Najib berkata, sokongan rakyat terhadap BN semakin positif tetapi BN harus melipatgandakan usaha memenangi hati rakyat kerana dalam pilihan raya ada pelbagai faktor yang bakal mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat rakyat.


Isu pendatang tanpa izin

Mengulas mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang sedang melakukan proses pendengaran, Najib berkata, ia membuktikan keikhlasan BN untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Seramai 167 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan. Biar suruhanjaya itu melaksanakan tugasnya dengan sempurna. Jangan pusing apa yang sedang berlangsung dalam pendengaran itu,” katanya.